Orkid dan persekitaran hidup semulajadinya

Orkid dan persekitaran hidup semulajadinya kuning

Maksud cara hidup orkid di sini ialah media yang diperlukan oleh setiap jenis orkid untuk hidup.

1. Tanah
Orkid yang hidup di atas tanah. Untuk penanaman sebagai hiasan biasanya pengemar orkid menggunakan tanah pasuan yang boleh didapati di nurseri-nurseri bunga berhampiran anda. Daripada pengalaman penulis tanah pasuan di nurseri perlu ditambah media* yang mampu meningkatkan saliran dan pengudaraan yang baik. Orkid dalam genus Spathoglottis dan Phaius adalah salah satu orkid yang memerlukan tanah sebagai medianya untuk hidup.
(* rujuk bab cara penanaman orkid untuk keterangan lanjut)

2. Epifit
Sejenis orkid yang hidup secara menumpang di atas pokok. Orkid epifit bukan parasit iaitu ia tidak ’mencuri’ keperluan hidupnya daripada perumahnya. Di dalam koleksi penulis, orkid jenis ini telah di tanam menggunakan beberapa jenis media* sebagai ganti kepada pokok perumah asalnya. Antara orkid epifit adalah genus Bulbophyllum, Dendrobium, Phalaenopsis dan Vanda. (* rujuk bab cara penanaman orkid untuk keterangan lanjut)

3. Memanjat
Orkid jenis memanjat ini boleh dikenali dengan pangkalnya hidup di tanah dan ia menjalar memanjat atau melilit media sokongannya. Biasanya dia mempunyai akar udara yang berserabut. Biasanya orkid jenis ini adalah monopodial seperti genus Dipodium, Arachnis dan Mokara. Orkid vanila juga termasuk di dalam kumpulan ini.

4. Litofit
Ia menjadikan batu sebagai medianya untuk hidup. Di dalam hutan biasanya kita boleh melihat orkid jenis ini hidup di batu batu tepian air terjun yang ditumbuhi dengan lumut. Antaranya ialah beberapa jenis orkid di dalam genus Paphiopedilum, Eria dan juga sekumpulan orkid yang di panggil ‘Jewel Orchid’.
Daripada ciri-ciri pengkelasan di atas, setiap orkid akan berkemungkinan mempunyai gabungan ciri-ciri yang telah disebutkan;
Contoh 1 : Orkid Phalaenopsis violacea – Spesis, Monopodial dan Epifit
Contoh 2 : Orkid Dendrobium Sonia – Hibrid, Simpodial dan Epifit
Contoh 3 : Orkid Sphatoglottis aurea – Spesis, Simpodial dan Tanah



Dipetik:http://wannura.wordpress.com/2010/07/01/cara-menanam-orkid-di-malaysia